Sabar Menanti…..

Perubatan, Perubatan di Kuala Terengganu No Comments »

Sesungguhnya iman itu terdiri atas dua bahagian: sebahagian yang pertama itu ialah sabar dan sebahagian yang kedua itu ialah syukur.  Keduanya ini merupakan dua sifat dari sifat-sifat Allah Ta-™ala dan dua nama dari al-asmaa-ul-husnaa, dimana Dia menamakan Diri-Nya dengan nama ash-Shabuur dan asy-Syakuur

Allah berfirman: 

Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu, akan disempurnakan pahalanya dengan tiada terhitung ” – Surah Az-Zumaar, ayat 10

Hendaklah kamu bersabar, sesungguhnya Allah itu bersama orang-orang yang sabar“ – Surah Al-Anfaal, ayat 46

Apa yang di sisi kamu itu akan hilang dan apa yang di sisi Allah itu yang kekal.  Dan akan Kami berikan kepada orang-orang yang sabar itu pembalasan, menurut yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya“ -“ Surah An-Nahl,  Ayat 96

Hadith Nabi saw bersabda -  “Sabar itu separuh iman

Ali r.a berkata pula -“ “Sabar itu dari iman, adalah seperti kedudukan kepala dari tubuh.  Tidak ada tubuh bagi orang yang tidak mempunyai kapala.  Dan tidak ada iman, bagi orang yang tiada mempunyai kesabaran

Dalam menjalani perubatan selama lebih 10 tahun, banyak pengalaman yang saya hadapi dan kebanyakan pengalaman ini kadang-kadang menguji kesabaran saya.  Lebih banyak saya mengubat pesakit, lebih banyak kerenah manusia saya ketemui dan makin meningkat kesabaran saya, insyaallah. 

Seorang perawat atau pengamal Perubatan Islam mesti  mempunyai sifat kesabaran  dan sifat toleransi yang tinggi.   Terutama sekali apabila merawat pesakit yang dirasuk jin atau iblis.  Pernah saya dipukul, diludah, diberi kata-kata yang menghina saya,  difitnah, dimaki-hamun dan banyak lagi perbuatan-perbuatan dari pesakit-pesakit yang boleh menyakitkan hati.  Kalau tidak ada sifat kesabaran yang tinggi, sudah lama saya meninggalkan amalan perubatan ini.

Bayangkan selepas satu hari suntuk berkerja di pejabat dari jam 8.30 pagi hingga lewat 6 petang, pulang ke rumah untuk seketika,  jam 9 malam saya sudah mula mengubat di klinik saya sehingga jam 3 atau 4 pagi.  Setiap malam dari hari Isnin malam hingga Khamis malam di Klinik Gombak saya,  tidak kurang dari 50 pesakit  mengunjungi klinik saya.   Kadang-kadang bila badan sudah terlalu penat dan letih, ini memang menduga tahap kesabaran untuk meneruskan perubatan hingga ke jam 3 atau 4 pagi.  Satu malam saya tidur hanya 3 atau 4 jam sahaja.

Selalunya pada hari Jumaat malam saya dan adik angkat saya Ashraf Muslim akan pergi ke klinik kami di luar kawasan Kuala Lumpur menaiki kapal terbang atau menaiki kereta.  Kami akan pergi mengubat di tempat-tempat seperti Kuala Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.  Dugaan kami selalunya adalah flight delay dan kesesakan lalu lintas menuju ke Lapangan Terbang.  Kalau tidak ada kesabaran, memang kami patah balik kerumah dan berada bersama keluarga.

Bila sampai di destinasi tempat mengubat, cabaran yang ketara ialah mengejar masa untuk mengubat ramai pesakit.  Masa kami sangat terhad, contohnya bila kami pergi ke Kota Kinabalau, kami hanya ada 1 hari sahaja untuk mengubat iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang kerana pada sebelah malam kami akan kembali pulang ke KL.  Dalam masa satu hari itu ada 150 hingga 200 pesakit yang memerlukan rawatan kami.  Mamang tidak ada masa untuk berehat atau untuk “shopping” atau “sight seeing”.  Kadang-kadang tidak ada kesempatan masa untuk makan tengah hari, atau makan sambil mengubat.

Mengapa saya menulis perihal ini adalah supaya pesakit-pesakit yang datang untuk berubat dapat memahami keadaan kami yang sebenarnya.  Kami terima banyak aduan dari pesakit-pesakit  tentang waktu menunggu yang sungguh lama dan ada yang tidak sabar menunggu hingga balik tanpa mendapat rawatan.  Selalunya bila kami mengubat, kerana kesuntukan masa,  jarang sekali kami dapat bertanya khabar dengan pesakit.  Soalan yang sugguh “standard” yang kami akan tanya kepada setiap pesakit ialah “Nama siapa?” dan “Sakit apa?”.  Kami faham kalau kami memberi  banyak masa yang lama pada seorang pesakit, ia akan memberi “snowball effect” dimana pesakit kemudian akan menunggu lebih lama lagi untuk menanti giliran mereka. 

Sebab itu saya merayu kepada semua pesakit agar bersabar menunggu giliran masing-masing. Moga-moga dengan kesabaran itu datangnya rahmat dari Allah swt dan dengan keberkatan dari kesabaran itu maka Allah swt menyembuhkan sakit yang dialaminya. 

Di bawah ini saya lampirkan gambar-gambar yang dirakamkan semasa kami mengubat di kediaman sahabat saya Cikgu Syed Othman dan isterinya Cikgu Sharifah di Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada hari Sabtu, 20 November 2010.  Seramai 210 orang pesakit telah dapat kami rawat pada hari itu.  Rawatan bermula pada jam 8.30 pagi Sabtu hingga kami tutup klinik pada jam 2.30 pagi Ahad. 

Terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan rumah Cikgu Syed dan Cikgu Sharifah yang menyediakan penginapan dan makanan untuk kami berdua.  Fasal bab makan dan minum, syukur kepada Allah swt dimana-mana kami pergi mengubat, rezeki tuhan beri melimpah-limpah dan kami tidak pernah merasa lapar atau dahaga.  Mereka juga membantu kami menguruskan pendaftaran, iaitu satu tugas yang sangat mencabar dan menguji kesabaran apabila cuba untuk mententeramkan 200 lebih pesakit yang datang dari pagi hingga malam. Kepada jiran depan rumah, Encik Bakar dan isteri, terima kasih kerana membantu dan juga anak-anak Cikgu Syed yang sangat bersabar dan menolong kami menguruskan rawatan di Kuala Ibai setiap bulan. 

           

 

Video – Keindahan Alam Ciptaan Allah

Keindahan Alam No Comments »

Bertempur dengan Iblis dan Jin Ayah Pin

Gangguan Iblis, Gangguan Jin, Gangguan Sihir, Permindahan Jin, Perubatan No Comments »

Pada tahun 2005, terdapat satu kumpulan ajaran sesat yang bergelar “Kerajaan Langit“ atau “Sky Kingdom“ yang bertapak di Besut, Terengganu.  Pengasas kepada Kerajaan Langit ini iaitu Arifin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin.  Kumpulan ini telah disenaraikan sebagai kumpulan ajaran agama sesat oleh Kerajaan Malaysia.  Ajaran agama sesat ini berkampung di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu. 

Ayah Pin menyifatkan dirinya sebagai “Tuhan” kepada segala agama.  Ayah Pin berjaya memperalatkan dan mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat, agama dan status penduduk di negara ini untuk menyertai ajaran agama sesat yang disebarkannya.  Dia membangunkan kawasan Kerajaan Langit dengan beberapa struktur besar untuk melambangkan kuasa tuhan yang diamanahkan kepada dirinya untuk melindungi dan mamayungi umat manusia.

Antara  bangunan dan struktur yang dibina di kawasan seluas 6 ekar di Hulu Besut termasuk cerek gergasi, pasu, payung seperti Grand Stand F1, bulan sabit, telaga, rumah bulat, rumah nasyid, dewan perhimpunan, wakaf, replica kapal bahtera nabi noh, jambatan, sebuah makam Mohamad Ya dan sebagainya.   Ada yang memaklumkan kos pembinaan struktur dan bangunan ini melebehi RM5 juta.  Mengikut lapuran, Kerajaan Langit telah bertapak di tempat ini sejak pertengahan tahun 1980han tetapi pada hakikatnya kumpulan ini wujud di negara ini sejak tahun 1970han lagi.  Anggaran jumlah pengikut-pengikut ajaran sesat ini ditaksirkan sebanyak 23 ribu pengikut dari dalam dan luar negara.

Selepas bertahun-tahun bergiat dengan ajarannya di Malaysia, akhirnya ajaran yang memesongkan orang ramai itu telah dihidu oleh pihak berkuasa.  Akhirnya pengikut-pengikut Ayah Pin telah ditahan dan disoal siasat serta didakwa di makhamah.  Ayah Pin telah menghilangkan diri dari pihak berkuasa sehingga hari ini dan ada yang mengatakan dia bersembunyi di Selatan Thailand.  Kawasan Kerajan Langit di Besut itu turut dimusnahkan pada bulan Ogos 2005.    Di sini saya ingin menceritakan penglibatan saya dalam permusnahan kawasan Kerajaan Langit di Besut itu. 

Terlebih dehulu saya ingin menceritakan sejarah Perubatan Syifa Al-Hidayah di negeri Terengganu.  Sejak tahun 2003, saya telah mula mengunjungi ke Kuala Terengganu sekali sebulan untuk mengubat pesakit-pesakit dari Pantai Timur.  Sahabat saya Ustdz Mohd Shukri Ali yang bertugas sebagai Pegawai Ugama di Istana Terengganu adalah orang yang bertanggung-jawab membawa saya ke Terengganu. 

Dahulu semasa saya mula-mula berubat di Kuala Terengganu, saya berubat di kediaman Ustadz Mohd Shukri yang pada masa itu menetap di kuarters istana berhampiran dengan pantai Batu Buruk.  Pada suatu pagi Sabtu pada penghujung bulan July 2005, Mufti Terengganu kebetulan dia sahabat kepada Ustadz Mohd Shukri, berjumpa saya di kediaman Ustadz Shukri. Dia mohon pertolongan dari saya agar dapat membersihkan benda-benda ghaib yang menjaga tempat kawasan Kerajaan Langit di Besut.  Mengikut katanya sudah banyak kali jentera-jentera dan kakitangan Jabatan Kerjaya hendak masuk ke kawasan itu untuk merobohkan struktur-stuktur dan bangunan-bangunan di tempat itu tetapi mereka menemui pelbagai halangan yang pelik-pelik. 

Saya pada masa itu tidak tahu sangat perihal Kerajaan Langit ini tetapi kerana desakan Ustadz Mohd Shukri saya bersetuju dengan syarat saya diiringi oleh 7 orang tafiz.  Permohonan saya untuk mendapat tafiz tidak menjadi masalah dan dalam beberapa jam sahaja, Mufti Terengganu dapat mengumpul 7 orang tafiz diiringi dengan 3 orang Ustadz iaitu tenaga pengajar mereka. Kami berkumpul selepas waktu asar di sebuah surau di Kuala Terengganu dan saya memberitahu mereka  surah-surah yang perlu dibaca semasa di sana  dan juga memberi taklimat apa yang mereka harus lakukan apabila tiba di sana nanti.  Saya juga “scan” setiap tafiz dan tenaga pengajar yang akan mengiringi saya untuk memastikan tidak ada yang lemah semangat atau bermasalah.

Selepas solat magrib dan selepas makan malam nasi bungkus, kami bertolak ke Besut menaiki bas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).  Selalunya perjalanan dari Kuala Terengganu ke Besut mengambil masa 2 jam sahaja.  Rupa-rupanya Raja iblis iaitu sahabat Ayah Pin telah tahu tentang  perancangan kami dan mereka pun membuat persiapan juga untuk menghalang kami tiba di tempat itu.

Kira-kira  dalam 50 km dari kawasan itu, terdapat sekatan jalan atau “road block” bukan oleh pihak polis atau JPJ tapi road block oleh kuncu-kuncu jin dan iblis Ayah Pin.  Bas yang kami menaiki terpaksa berhenti dan patah balik untuk mencari jalan alternative yang lain.  Sekiranya kami tidak menghiraukan sekatan jalan itu, jin-jin itu berupaya untuk menganiayakan kami dengan berlakunya kemalangan-kemalangan yang mereka boleh lakukan.  Ada suatu ketika bas yang kami naik diserang oleh jin-jin Ayah Pin dan saya bernasib baik membawa bersama adek-adek tafiz ini yang sungguh bersemangat membaca ayat-ayat Al-Quran dan  bersama dengan pertolongan dari Allah swt,  menolong saya melawan jin-jin tersebut.  Kami terpaksa mengambil jalan yang jauh untuk sampai ke Besut.  

Kami sampai di Besut dalam jam 2 pagi.  Kami mengambil masa lebih dari 6 jam untuk sampai ke Besut bandingkan dengan perjalanan yang biasa nya makan masa 2 jam untuk sampai ke sana. Bila sampai di kawasan itu, saya terperanjat melihat betapa ramainya polis-polis dari Bukit Aman dan Kuala Terengganu menjaga keselamatan dan membuat pemantauan di kawasan itu.   Bila sampai di tempat itu, saya rasa agak pelik melihat cerik besar, pasu besar, bahtera kapal nabi noh dan lain-lain struktur.  Walau pun tempat itu tidak ada lampu sebab bekalan elektrik telah lama diputuskan oleh pihak berkuasa, kami disinari oleh cahaya bulan mengambang pada malam itu. 

Setelah membuat tinjauan atau “quick survey” di kawasan itu, saya mendapati ada beratus ekor jin dan iblis dalam kawasan itu. Tetapi yang ketara sangat ialah 12 ekor jin  yang mewaklili beberapa agama-agama di dalam dunia ini.  Jin-jin ini lah yang telah membantu Ayah Pin mendirikan ajaran agama sesat Kerajaan Langit ini. 

Saya memilih  dewan perhimpunan yang masih tersergam disitu untuk bertempur dengan 12 ekor jin itu.  Saya mengarahkan semua tafiz-tafiz yang mengiringi saya untuk masuk ke dalam dewan itu.  Untuk pengetahuan semua, ada golongan orang yang cuba membakar dewan perhimpunan itu dua atau tiga hari sebelum itu dan terdapat banyak serpihan-serpihan kaca di lantai dewan itu.   Dengan bercahayakan bulan yang mengambang pada malam itu dan lampu suloh dari pihak polis, kami membaca surah-surah  Al-Quran.  Satu demi satu jin saya bertempur sehingga jubah saya basah kuyup dengan peluh badan.  Hampir 3 jam saya bertempur sehingga saya berguling-guling di atas lantai dewan itu. 

Dengan keizinan Allah swt dan pertolongan dari Nya, dan dibantu dengan laungan dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari adik-adik tafiz yang ada dengan saya pada malam itu, saya dapat mengalahkan kesemua jin-jin Ayah Pin kecuali se-ekor jin yang dapat melarikan diri.  Selepas itu saya mengarahkan beratus-ratus jin-jin yang berada di sekitar kawasan itu berpindah atau pergi dari kawasan itu.

Masa itu sudah hampir waktu subuh.  Kami semua bersiap sedia untuk berjemaah subuh.  Saya menyuruh seorang dari adek tafiz melaungkan azan subuh.  Pada pagi itu, pertama kali dalam 25 tahun azan subuh berkumandang di tempat itu.  Syukur Alahamdulilah pada Allah swt.  Menitis air mata saya bila terdengar azan subuh di kawasan itu dan berakhirlah kekuasaan jin-jin Ayah Pin di tempat itu.  Selepas mengerjakan solat, saya sujud bersyukur pada Allah swt kerana memberi saya hidayah dan kekuatan menangani jin-jin tersebut.

Selepas matahari terbit kami semua bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Terengganu.  Perjalanan balik ke Kuala Terengganu aman tanpa sekatan road block atau apa-apa halangan. Kami diberitahu tepat jam 8 pagi, pihak JKR datang dengan jentera-jenteranya merobokan semua struktur-struktur dan bangunan-bangunan di kawasan itu. 

 

Pada hari Isnin, 2 August 2005 tersebar meluas cerita di dalam setiap akbar di negara ini mengenai kawasan pentadbiran Kerajaan Langit telah dirobohkan dan dimusnahkan.  Tetapi apa yang berlaku pada malam  sebelum kawasan itu dirobohkan tidak ramai yang tahu cerita sebenarnya sampai lah hari ini saya memilih untuk memberitahu kejadian sebenar yang berlaku.   Terima kasih Allah kerana atas pertolongan Mu kami berjaya menumpas ajaran sesat yang sudah lama berleluasa di negara ini.  Amin Ya Rabbal Alamin.

Hj. Lokman

19 November 2010

Permindahan Jin (Kes – Petrosains KLCC)

Gangguan Iblis, Gangguan Jin, Permindahan Jin, Perubatan No Comments »

Kes 2 -“ Pusat Petrosains Petronas di KLCC

Petrosains Kuala Lumpur terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur dalam Bangunan Suria KLCC, di Menara Kembar Pertronas.  Di sini pengunjung dapat belajar mengenai pembabitan Malaysia dalam industri minyak secara “interactive” melalui ketakjuban sains dan teknologi.  Pusat ini juga sesuai untuk kanak-kanak kerana terdapat banyak permainan dan pamiran-pamiran yang menggunakan lima deria -“see, hear, smell, touch, feel” untuk mereka mempelajari berkenaan kewujudan industri minyak di Malaysia.

Saya diperkenalkan kepada seorang kakitangan Petrosains melalui sahabat saya Ustadz Hashim dari Fitrah Perkasa.  Ustadz Hashim adalah salah seorang penceramah yang amat saya hormati dari Fitrah Perkasa.  Suatu ketika dahulu ramai kakitangan Pertronas khususnya kakitangan dari Petrosains menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Fitrah Perkasa.  Suatu hari salah seorang dari kakitangan Petronas menghubungi Ustadz Hashim mengenai kejadian-kejadian ganjil yang berlaku di tempat itu.  Masa itu tempat ini baru dibuka dan kalau tidak silap tahun 2004.

Kalau kita imbas kembali tempat KLCC ini dahulunya bekas tapak tempat perlumbaan kuda.  Saya masih ingat semasa saya berkerja di PA Consulting pada tahun 1994 di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang berdepan dengan kawasan KLCC.  Semasa itu tapak KLCC ini sedang dalam pembangunan.  Di tapak perlumbaan kuda ini banyak perbuatan maksiat telah berlaku seperti perjudian dan lain-lain lagi.  Tidak hairan kalau banyak raja-raja iblis dan jin-jin bertapak di tempat ini.

Pada satu malam saya dijemput ke Petrosains oleh seorang pegawai dan diberi keterangan berkenaan masalah yang dihadapi.  Malam itu adalah kali pertama saya datang ke Petrosains.  Saya diberitahu terdapat beberapa kejadian pelik-pelik yang berlaku di dalam kawasan pejabat dan kawasan pameran yang tidak boleh masuk akal.  Kalau saya ingat pada malam itu ada lima orang yang bertugas termasuk pegawai keselamatan Petrosains.

Bila saya buat “survey” di sekitar kawasan pejabat dan kawasan pameran, memang ramai penghuni-penghuni ghaib di tempat itu pada masa itu.  Dengan keizinan Allah saw, saya dapat mengeluarkan mereka dari tempat itu.  Alhamdulillah syukur pada Allah, kebanyakan penghuni-penghuni ghaib disitu akur dan menurut apa yang saya kehendaki mereka lakukan ia itu berpindah dan keluar dari kawasan itu.

Ada satu tempat pameran yang ingin saya tidak boleh lupa sehingga hari ini dan saya ingin menceritakan dengan lebih lanjut lagi disini.  Tempat yang saya maksudkan ini adalah satu dewan pamiran yang menempatkan binatang-binatang purba.  Di situ juga ada sebuah model gunung berapi dan di persekitaran ada ramai patung-patung mekanikal dinosaur purba dan binatang-binatang buas yang lain.  Tetapi sekarang mungkin dewan pamiran ini telah diubah suai dan binatang-binatang yang dipamirkan mungkin telah ditukar ganti yang lain sebab kejadian ini berlaku dalam tahum 2004.  Saya pun sudah lama tidak mengunjungi tempat ini dan tidak pasti apa-apa perubahan baru yang telah berlaku.

Bila saya masuk kedalam dewan pameran itu, hanya lampu ditempat lorong laluan yang bernyala.  Dari mula saya dapati ramai penghuni-penghuni jin ada disitu. Tidak lama kemudian selepas beberapa minit saya masuk ke dewan pameran itu, semua lampu-lampu di dalam dewan pameran itu bernyala seolah-olah dewan pameran sedang dibuka untuk menerima pengunjung waktu lawatan biasa, padahal pada masa itu waktu jam 1 pagi.  Kemudian gunung berapi itu mengeluarkan asap dan patung-patung dinasour mula bergerak-gerak dengan bunyi “audio visual” seolah-olah pameran dibuka untuk pengunjung-pengunjung seperti waktu lawatan biasa disiang hari.

Kebetulan pada masa itu ada seorang kakitangan Petrosains yang mengiringi saya dalam dewan pameran itu.  Saya mengarahkan dia supaya menutup semua lampu-lampu yang telah dinyalakan dan mematikan semua alat-alat audio visual yang dipasang dan juga mematikan pergerakan dinasour yang ada dalam dewan pameran itu termasuklah asap dari gunung berapi itu. Bunyi dan pergerakan dinasor dan binatang-binatang dalam dewan pada ketika itu menggangu konsentrasi dan fokus saya.  In adalah  kerana apabila melakukan tugasan seperti ini, selalunya saya kena fokus berzikir kepada Allah swt dan bunyi-bunyi dan lampu-lampu dalam dewan pameran itu menggangu saya.

Saya sungguh terperanjat dan terkejut apabila pengawai itu berkata bahawa dia tidak dapat mematikan lampu yang dipasang oleh sebab semua switch lampu dan alat-alat mesin untuk mengawal pergerakan binatang-binatang dinasour ini ada didalam bilik kawalan yang telah dikunci.  Dia seterusnya berkata kunci untuk memasuki bilik kawalan itu disimpan oleh seorang pegawai, dan pegawai itu tidak datang bersama pada malam itu. Saya tanya siapa pula yang memasang dan memainkan semua ini kalau bilik kawalan itu berkunci.  Pegawai itu hanya diam dan tidak dapat menjawab soalan saya.  Daripada tempat saya berdiri didalam lorong laluan di dewan itu, pengawal itu menunjukan cermin bilik kawalan dan memang jelas bilik kawalan itu kosong dan tidak ada kelihatan seorang pun manusia di dalam bilik kawalan itu. Pelik dan ajaib kejadian itu berlaku tetapi memang benar ia telah berlaku pada malam itu.

Maka mulalah satu pertempuran antara saya dengan penghuni-penghuni ghaib disitu dan dengan keizinan Allah swt saya dapat keluarkan semua benda-benda ghaib dari dewan pameran itu.   Yang anehnya, selepas saya keluarkan benda-benda ghaib itu, lampu-lampu dalam dewan itu padam dengan sendirinya dan dinasour-dinasour berhenti bergerak-gerak dengan sendirinya dan dewan pameran itu kembali senyap dan  sepi.  Saya sendiri macam tidak percaya kejadian seperti ini telah berlaku.  Syukur Alhamdulillah kepada Allah swt dengan keizinannya dan dengan pertolongannya dapat saya bersihkan tempat itu pada malam itu.

Hj. Lokman

18 Nov 2010

Permindahan Jin (Kes Pustaka Sarawak)

Gangguan Iblis, Gangguan Jin, Permindahan Jin, Perubatan, Perubatan di Kuching No Comments »

Kes 1 – Pustaka Negeri Sarawak di Kuching

Pada tahun 2003, saya di jemput ke Kuching, Sarawak oleh Pengarah, Pustaka Sarawak untuk menolong menyelesaikan masalah di bangunan baru Pustaka itu. Saya diperkenalkan kepada Pengarah Pustaka ini melalui sahabat karib saya Kak Radzi.

Bangunan baru Pustaka Sarawak ini terletak di Jalan Stadium, Kuching, sebuah kawasan yang sungguh cantik dan strategik berdekatan dengan Masjid Negeri.  Bangunan baru yang serba moden ini lengkap dengan pelbagai kemudahan dan disebelah bangunan itu ada sebuah tasik dan kawasan taman rekreasi yang dihiasi dengan pohon-pohon dan taman-taman bunga. Senireka bangunan Pustaka Sarawak itu pula sungguh cantik dan tersergam indah.  Saya bersyukur kepada tuhan kerana telah memberi kemudahan kepada rakyat bumi kenyalang ini sebuah perpustakaan yang begitu moden dan lengkap dengan kemudahan teknologi maklumat yang terkini.

Saya diberitahu bahawa masalah utama yang dihadapi oleh perpustakaan pada masa itu ialah bilangan orang ramai yang mengunjung dan menggunakan perkhidmatan perpustakaan ini sungguh sedikit walaupun berbagai promosi telah dijalankan di media-media mahupun di perpustakaan itu sendiri.  Ramai pengunjung merasa tidak selesa berada di pustaka ini dan daya tarikan ke pustaka ini tidak ada walaupun bangunan ini serba lengkap dan tersergam.

Setelah membuat “survey” di persekitaran kawasan luar dan dalam pustaka itu, saya dapati tapak tempat kawasan pustaka itu dulunya kawasan perkampungan makhluk-makhluk halus (jin).  Sebelum didirikan bangunan baru itu, kawasan bersebelahan dengan tasik ini adalah kawasan lembah dan kawasan ini didiami oleh empat perkampungan jin selama beratus-ratus tahun lamanya.  Terdapat juga tempat perkebumian penduduk-penduduk tempatan lama yang dahulu kala pernah mendiami di sekitar kawasan ini.

Setelah bangunan baru pustaka ini didirikan, ratusan penghuni-penghuni jin dari ke empat-empat perkampungan ini telah menetap di dalam kawasan bangunan ini.  Setiap bilik yang saya memasuki ada ramai penghuni ghaib yang mendiami bilik-bilik itu.  Paling istimewa ialah sebuah bilik dipanggil “Reading Room”, sebuah bilik berkaca yang sungguh strategik kerana dari bilik ini boleh kita boleh melihat permandangan keseluruh kawasan tasik dan kawasan rekreasi.  Disini lah penghulu-penghulu jin-jin ini menetap.

Inilah punca kenapa bangunan Pustaka ini sering didatangi pengunjung dari kawasan persekitaran Kuching mahupun dari luar bandar raya Kuching, walaupun kemudahan yang disediakan amat terkini dan moden dan serba lengkap.  Makhluk halus ini menjadikan bangunan baru ini sebagai rumah baru mereka dan mereka tidak suka sekiranya kaum Adam datang ke bangunan pustaka ini sebab mereka anggap ini rumah mereka.  Setiap kali kaum Adam datang ke bangunan ini, mereka akan cuba mempengaruh supaya tetamu pustaka itu merasa tidak selesa dan tidak lagi mengunjung ke pustaka itu lagi.  Kaum jin ini diberi keistimewaan dari Allah swt untuk mempengaruhi pemikiran dan emosi manusia.  Ini satu kelebihan yang diberi oleh Allah swt kepada mereka.

Setelah berbincang dengan pihak pengerusan Pustaka dan memberitahu keadaan yang sebenarnya, pihak pengurusan Pustaka meminta pertolongan untuk saya (dengan keizinan Allah swt) mengeluarkan atau memindahkan semua penghuni-penghuni ghaib ini dari bangunan ini.  Satu tugas yang berat sebab penghuni-penghuni ghaib ini telah bermaustatin ditempat ini beratus-ratus tahun lama nya dan mereka tuntut yang mereka lah “permanent residence” asal ditempat ini.  Dan bilangan mereka sungguh ramai, bukan setakat puluhan tetapi ratusan jin-jin.  Mereka ada keluarga dan beranak-pinak ditempat itu.  Di kalangan mereka pula ada  beberapa status dari ketua penghulu ke hulubalang-hulubalang, dan seterusnya rakyat jin biasa.

Setelah perbincangan demi perbincangan dengan penghulu dan hulubalang jin-jin  itu gagal pada malam itu, saya menggunakan kekerasan untuk mengeluarkan mereka.  Akhir sekali dengan keizinan Allah swt, saya dapat memaksa mereka berpindah tetapi dikehendaki menyediakan kenderaan untuk menghantar mereka pulang ke kawasan asal mereka iaitu di persekitaran kawasan Gunung Sentubong dan kawasan dasar laut di kaki Gunung Sentubong itu.

Pada malam itu kira-kira jam 2 pagi, berlaku lah penghijrahan dari kawasan itu ke tempat asal kediaman mereka melalui kenderaan bas.  Pihak pengurusan Pustaka dapat meminjam atau menyewa bas dari salah sebuah pusat institusi, kalau tidak silap saya dari ITM Kuching.  Kerana ramai keluarga penghulu dan keluarga hulubalang jin, maka kami terpaksa membuat dua trip untuk memindahkan segulongan dari mereka melalui bas.  Bagi kaum jin yang dari keturunan rakyat biasa, mereka diarahkan ketempat yang baru itu dengan sendiri tanpa diberi kemudahan kenderaan.  Semasa perjalanan pergi ke Gunung Santubung, saya hanya ditemani oleh pemandu bas untuk menghantar mereka pulang ketempat asal mereka.  Satu perjalanan malam yang sukar untuk saya lupakan sehingga hari ini.

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt dan dengan keizinan Nya, selepas permindahan itu berlaku, saya diberitahu suasana di Pustaka itu pulih kembali dan ramai pengujung ke Pustaka itu sampaikan tidak mencukupi tempat letak kereta untuk para pengunjung. Saya berterima kasih pada Allah swt kerana telah memudahkan misi permindahan pada malam itu dan saya juga gembira kerana Pustaka ini dikunjungi olah rakyat bumi kenyalang ini, dan wang rakyat membina sebuah Pustaka yang moden dan serba lengkap ini tidak membazir dan kemudahan Pustaka itu dipergunakan sepenuhnya.

Baru-baru ini sebelum bulan Ramadhan yang lepas, semasa saya mengunjung ke Kuching untuk mengubat pesakit-pesakit di sana, saya singgah sebentar di Pustaka Sarawak ini.  Sahaja hendak menengok keadaan tempat itu dan saya dapati penghuni-penghuni makhluk halus yang suatu ketika dahulu menetap di situ sudah tidak ada lagi.  Ini bermakna permindahan yang dilakukan itu telah diredhai oleh Allah swt.  Suasana aman di dalam bangunan Pustaka Sarawak.  Alhamdullilah syukur pada Allah swt.

Hj. Lokman

16 November 2010

Berkahwin dengan Orang Bunian

Gangguan Jin, Perubatan No Comments »

Orang Bunian adalah sejenis makhlus halus dari golongan jin.  Mereka tidak mempunyai  jasad seperti manusia dan seperti golongan jin, Allah SAW menjadikan mereka  dari api.  Orang Bunian ini kebiasaan nya terdiri dari jin-jin Islam.   Orang bunian ini dikatakan mempunyai budaya setempat, memiliki wajah dan fizikal seperti manusia tetapi tidaklah sempurna seperti wajah dan badan manusia.

Di sini ada satu kisah benar yang saya ingin menceritakan pengalaman saya mengubati seorang pesakit lelaki yang berumur dalam lingkungan 13 tahun yang telah berkahwin dengan seorang orang bunian. 

Kejadian ini berlaku dalam tahun 2004 di Kuala Lumpur semasa saya masih lagi menetap  di Bukit Antarabangsa.  Biarlah saya namakan pesakit ini Pesakit B.  Satu hari ayah kepada Pesakit B ini datang ke rumah saya mengadu yang anaknya Pesakit B ini tidak mahu pergi ke sekolah selama beberapa bulan yang lepas.  Ini  berlaku selepas anaknya balik dari “camping trip” di hutan di luar kawasan Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh sekolah anaknya . 

Tiap-tiap hari anaknya akan tidur pada siang hari dan akan hanya bangun pada jam 12 malam dan akan tidur semula menjelang waktu subuh.  Dalam masa 5 atau 6 jam dia tidak tidur dari jam 12 malam hingga subuh, dia akan meminta ibunya memasak makanan untuk dia dan menguruskan diri seperti mandi dan sebagainya.

Pada satu petang, saya ditemani  oleh seorang sahabat bernama Ustadz Faisal (seorang tahfiz) pergi ke rumah Pesakit B.   Masa itu Pesakit B sedang lena tidur di biliknya.  Apabila tiba di rumah Pesakit B, saya dapati selain dari ibu dan ayah Pesakit B, ada beberapa makhluk halus di rumah itu. 

Makhluk halus itu memperkenalkan diri mereka pada saya.  Meraka adalah golongan jin jenis orang bunian.  Rupa-rupa nya Pesakit B ini telah berkahwin dengan anak perempuan Penghulu orang bunian.  Bersama-sama Penghulu orang bunian itu, saya juga telah diperkenalkan dengan anak perempuannya.  Saya lupa hendak bertanya nama kedua-dua makhlus halus itu.   Kisahnya anak perempuan dia telah jatuh cinta dengan Pesakit B semasa dia berkhemah di tepi hutan berdekatan dengan kediaman penduduk orang bunian ini beberapa bulan yang lalu dan mereka telah pun dikurniakan seorang cahaya mata.

Jadi bila Pesakit B ini tidur, roh nya berada di alam jin dan dia akan hidup bersama-sama keluarga baru nya.  Saya memberitahu hal yang sebenar kepada kedua-dua ibu bapa Pesakit B.  Alangkah terkejutnya mereka berdua dan mereka tidak sangka perihal demikan telah berlaku pada anak bongsu mereka.  Ibu kepada Pesakit B menangis-nangis tidak setuju akan perkahwinan anak bongsunya.  Ayah Pesakit B mengelengkan kepala tanda tidak setuju sama sekali. 

Saya memberitahu penghulu jin itu yang kedua-dua ibu bapa Pesakit B tidak meneriam dan merestui perkahwinan itu dan mahu anak mereka kembali ke alam dunia ini dan mereka mahu anak bongsunya dipisahkan dengan anak perempuan bunian itu.

 Mendengar demikian, Penghulu orang bunian itu bertanya kepada saya,

Buktikan di dalam Al-Quran ada ayat-ayat yang menyatakan bahawa Allah SAW tidak membenarkan kaum Jin berkahwin dengan kaum Adam.”

Selanjutnya Penghulu itu berkata,

Sekiranya ada ayat-ayat tersebut dalam Al-Quran, dia bersedia untuk memisahkan anak perempuan dia dengan Pesakit B, dan sekiranya tidak dapat membuktikan, maka perkahwinan ini akan diteruskan.”

Saya tergamam untuk menjawab soalan Penghulu Bunian itu dan saya tidak sangka soalan itu akan dikemukakan kepada saya.  Terdetik dalam hati saya membisik bijak juga Penghulu bunian ini.  Saya menoleh kepada sahabat saya Ustdz Faisal dan dia mengelengkan kepala serta membisik kepada saya bahawa dalam Al Quran tidak ada ayat-ayat yang mengatakan kaum jin dilarang dan tidak dibenarkan berkahwin dengan kaum Adam.

Memang tidak ada ayat di dalam Al-Quran yang Allah SAW melarang kaum manusia berkahwin dengan kaum jin.  Tetapi dari hukum feqah memang ada hukum yang menyuruh manusia berkahwin dengan kaum manusia dan bukan dengan makhluk lain seperti  jin atau binatang.  Dari segi akal memang tidak ada logiknya manusia berkahwin dengan kaum jin sebab manusia tidak nampak mereka, tidak dapat menyentuh mereka atau tidak dapat mendengar mereka.    Dalam Al-Quran juga mengatakan manusia tidak dapat melihat makhluk ghaib seperti syaitan, jin dan bunian kerana mereka tidak memiliki jasad.  Manusia memiliki empat unsur iaitu air, api, tanah dan angin tetapi bunian menyamai jin hanya memiliki unsur api dan angin.

Di akhir pembincangan petang itu, saya bagi pihak keluarga Pesakit B sekeras-kerasnya tidak bersetuju dengan perkahwinan Pesakit B dan anak perempuan Penghulu bunian itu.  Tidak ada lagi “negotiation”  dari pihak Penghulu bunian yang akan saya layani dan kata putus saya pada akhir perbincangan itu agar Penghulu bunian serahkan kembali Pesakit B kepada keluarga asalnya.  Dengan keizinan Allah SAW, dan dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dari Surah Al-Baqarah, Pesakit B kembali pulih sediakala.  Dengar khabar dari Ustadz Faisal baru-baru ini, Pesakit B  sudah pun berkerja dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

Pengajaran dari peristiwa ini ialah kita tidak patut tunduk atau bersetuju dan mengikut kata makhluk halus ini. Orang-orang bunian ini atau pun jenis-jenis jin yang lain mempunyai akal fikiran dan mereka boleh berfikir seperti kita, dan kadangkala kita mudah terpedaya dan tertipu dengan helah mereka.   

Satu lagi kisah benar berlaku dalam bulan Ramadhan tahun 2009.  Memangnya setiap Ramadhan saya berterawih di Masjid UIA di Gombak.  Pada satu malam sedang saya duduk di barisan depan saf di Masjid UIA  menunggu waktu solat ishak di Masjid UIA, saya didatangi oleh seorang jin jenis bunian bersama keluarganya.   Selalunya saya bertarawih dengan seorang sahabat rapat saya yang duduk di sebelah kiri saya. 

Mula-mula jin itu mengucapkan salam pada saya dan saya membalas salam.  Berdosakan kalau tidak membalas salam.  Jin itu memperkenalkan  diri dia dan memberitahu saya hajat dia untuk memperjodohkan anak perempuan kembar jin bunian dia dengan sahabat saya yang duduk sebelah kiri saya.  Kebetulan sahabat rapat saya ini masih lagi status bujang dan masih lagi single belum ada steady girlfriend pada ketika itu.  Sahabat saya ini memang handsome (dulu dia model), tinggi dan putih melapak orangnya sampai kaum jin pun boleh terpikat pada dia. 

Saya tergelak besar dan memberitahu sahabat rapat saya akan lamaran dari jin bunian itu. Mula-mula sahabat saya ingat saya berlawak tapi bila saya seriously beritahu dia akan keadaan yang sebenarnya, sahabat saya rasa seronok dan terus senyum lebar tetapi menolak lamaran jin itu atas alasan dia belum bersedia lagi.   Saya senyum sendiri dengar alasan spontan yang diberikan oleh sahabat saya tadi.  Dalam hati saya kalau lah dia nampak rupa wajah anak kembar perempuan  jin bunian, mungkin dia berfikir dua kali untuk memberi alasan itu.  Sahabat rapat saya ini pula suka tidur, kalau tidur mesti cukup tujuh atau lapan jam, dan mungkin ini satu sebab kaum bunian suka pada dia.

Hj. Lokman

10 November 2010