Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah swt dan sembuh dari penyakit yang dihadapi adalah ketentuan Allah saw juga. Sepanjang 12 tahun pengalaman saya dalam perubatan ilmu Al-Quran ini, ramai pesakit yang sudah sembuh dan ada juga yang tidak dapat disembuh. Sebab itu saya selalu menasihati pesakit kita boleh berikhtiar tetapi yang menentukan sembuh atau tidak sembuh adalah Allah swt.
Di dalam video Astro Oasis siri Penawar Syifa yang terdapat didalam blog saya ini terdapat banyak testimoni dari pesakit-pesakit yang telah sembuh dan ada juga pesakit dalam siri itu yang telah kembali kepada Allah saw. Di bawah ada testimoni dari seorang pesakit saya yang menghidapi penyakit thyroid. Bacalah testimoni beliau semoga ia boleh menjadi pelajaran kepada kita semua.

————————————————————————————————
Assalamualaikum wbrt,
Tuan Haji Lokman,
Bersama ini saya sertakan catatan ringkas tentang penyakit thyroid dan complication terhadap mata saya, seterusnya rawatan yang telah saya ambil di hospital dan juga rawatan di Perubatan Syifa Al-Hidayah. Semoga dengan catatan ringkas saya ini dapat meyakinkan bahawa perubatan Islam tidak terbatas untuk penyakit-penyakit gangguan sihir semata-mata, malah termasuk juga penyakit fizikal yang jelas dan diakui oleh perubatan moden.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuan Haji dalam membantu perawatan penyakit saya.
Sekian terima kasih.
—————————————————————–
Nama saya Puan A dan berumur 40 tahun. Saya telah dikesan mempunyai penyakit Hyperthyroidism semenjak tahun 1991 ketika berusia 21 tahun. Hyperthyrodism adalah keadaan di mana keadaan kelenjar thyroid yang aktif menyebabkan penghasilan paras hormon thyroid yang tiggi dalam darah. Akibat daripada aktiviti hormon thyroid yang aktif menyebabkan kesan-kesan seperti rasa panas yang keterlaluan (heat intolerance) dan banyak berpeluh, rasa berdebar-debar (palpitation), rasa capat marah, keadaan jari yang terketar-ketar (fine tremor), gangguan kitaran haid dan cirit-birit (diarrhoea).
Semenjak itu saya telah mengambil ubat Carbimazole sebagai rawatan dan mengikuti rawatan susulan di hospital secara teratur. Walaupun keadaan penyakit saya terkawal dengan pengambilan ubat, tetapi saya telah mengalami beberapa kali relapse (berulang) dan pada tahun 2004 saya telah menjalani rawatan radioactive iodine (RAI) sebagai alternative rawatan memandangkan keadaan saya yang kerap relapse.
Dengan rawatan RAI ini, penyakit Hyperthyroidism dijangka dapat dikawal tetapi akan menyebabkan pesakit mengalami keadaan sebaliknya iaitu Hypothyroidism di mana paras hormon thyroid menjadi terlalu rendah pula dan pesakit perlu mengambil ubat Thyroxine sebagai gantian kerana tubuh badan kita memerlukan paras hormon thyroid yang optimum untuk berfungsi dengan baik.
Dalam tempuh setahun selepas saya menjalani rawatan RAI, keadaan kesihatan saya secara keseluruhannya adalah stabil dan terkawal dengan pengambilan ubat Thyroxine dan rawatan susulan di hospital. Walau bagaimanapun, saya mula mendapat kesan sampingan penyakit Hyperthyroidism, di mana saya mengalami keadaan di mana mata saya “membengkak” secara unilateral (sebelah kiri lebih besar daripada sebelah kanan) dan bola mata kiri agak menonjol keluar. Saya tidak merasa sebarang kesakitan dan Alhamdulillah fungsi penglihatan juga tidak terjejas secara keseluruhannya. Saya dirijuk kepada klinik pakar mata di hospital yang sama dan pakar mata telah kenal pasti penyakit mata saya sebagai Dysthyroid Eye Disease. Sebagai rawatan saya perlu mengambil ubat Prednisolonedan sejenis ubat immune-suppressant untuk meredakan kesan radang pada tisu mata.
Saya faham bahawa rawatan moden adalah hanya untuk mengelakkan fungsi mata saya terjejas dan mengalami keadaan yang lebih rumit. Rawatan moden tidak mampu memulihkan keadaan fizikal mata saya yang telah menjadi “tidak normal” di mana bola mata kiri saya kelihatan lebih menonjol keluar. Saya harus terima kenyataan dan keadaan tersebut dengan pasrah dan redha.
Semasa saya terus menjalani rawatan susulan di hospital, pada sekitar pertengahan tahun 2008, keluarga saya telah mencadangkan agar turut mencuba perawatan Islam di Perubatan Syifa al-Hidayah dalam masalah kesihatan saya. Dalam perawatan tersebut saya telah disarankan untuk membaca ayat-ayat Al-Quran tertentu setiap pagi selepas solat Subuh dan juga sebelah malam selepas solat Magrib atau Ishak. Saya juga diberi air minum dengan niat agar penyakit saya disembuhkan. Semenjak itu saya telah terus mengikuti rawatan susulan mengikut temujanji yang diaturkan. Di samping itu, saya masih meneruskan pengambilan ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor pakar di hospital.
Setelah terus menjalani rawatan di Perubatan Syifa Al-Hidayah dari masa ke samasa, Alhamdulillah keadaan fizikal mata saya beransur-ansur bertambah baik. Keadaan “bengkak” mata kiri saya beransur-ansur kurang dan bola mata yang menonjol keluar juga semakin kurang ketara. Di samping itu, paras hormon thyroid saya terus terkawal. Perubahan fizikal mata saya yang semakin baik turut diakui oleh doktor pakar yang merawat saya. Begitu juga mereka di sekeliling saya, keluarga dan rakan-rakan turut menyedari perubahan fizikal mata saya.
Kini, saya masih lagi meneruskan perawatan di Perubatan Syifa Al-Hidayah dan juga dihospital. Alhamdulillah, saya bertambah yakin bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya, dan Al-Quran itu adalah sebaik-baik penawar kepada segala penyakit.











Recent Comments