Perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di berita harian

Keindahan Alam No Comments »

60 rangkaian ayat al-Quran jadi penawar kanser

Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah promosi mukjizat kitab suci rawat pelbagai penyakit

JIKA dulu orang ingat ayat al-Quran hanya untuk rawatan sihir, santau atau gangguan makhluk halus, tetapi kini kalam Allah diamalkan sebagai usaha mengubati penyakit kronik termasuk kanser serta penyakit moden lain.
Usaha mempromosikan mukjizat al-Quran sebagai kaedah merawat penyakit dijayakan pengamal perubatan menggunakan ayat al-Quran yang juga pengasas Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid, beroperasi di Villa Bestari, Sungai Pusu, Gombak.
Bermula dengan ikhtiar merawat ibunya yang menghidap penyakit tua, ilmu dan kebolehan dianugerah Allah itu kini dimanfaatkan dengan memberi perkhidmatan rawatan kepada pesakit yang semakin hari jumlahnya terus bertambah.

Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mula beroperasi sepenuh masa sejak akhir 2010 kini menerima kehadiran mencapai 200 pesakit sehari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang sebelum disambung semula selepas Isyak dan berlarutan jam 1, jika masih ada yang mengharapkan rawatan.

Bersama rakan kongsi, Ashraf Muslim dan seorang lagi anak muridnya yang komited menghulurkan bantuan, Zulhaidi Ahmad, pesakit yang datang mendapatkan rawatan dibekalkan surah untuk dibaca, diiringi doa serta tawakal kepada Allah.

Itu kaedah rawatan di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang menggalakkan pesakit menulis sendiri surah untuk dibaca, selain terus diingatkan supaya tidak jemu berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah.
Ada juga disediakan air sebagai memenuhi permintaan pesakit yang berasakan perlu dibekalkan air seperti kebiasaan dalam perubatan Islam, kata Lokman.

Memang sukar menafikan kuasa iklan ‘dari mulut ke mulut’ kerana melalui cara itu kemampuan merawat penyakit melalui pengamalan surah al-Quran mula tersebar dan akhirnya terus menjadi bualan ke hari ini.

“Saya menerima anugerah ini ketika berusia 40 tahun selepas menunaikan umrah. Saya amalkan dengan merawat ibu saya, berusia 89 tahun yang sakit tua. Alhamdulillah, kini mencecah usia 98, ibu sihat dan mampu membaca al-Quran.

“Saya tidak pernah berguru, ilmu ini pemberian Allah. Selepas merawat ibu, kawan isteri dan saudara mara datang untuk berubat dan saya cuba merawat mereka di rumah saya di Bukit Antarabangsa. Sebenarnya ketika itu saya pun tidak pasti sama ada cara rawatan itu betul atau tidak.

“Alhamdulillah, selepas melalui proses percubaan rawatan dan penyembuhan secara berterusan, lama-kelamaan ramai yang datang hingga tertubuh klinik pada 1996. Masa itu saya masih bekerja dan hanya membuat rawatan selepas Isyak,” cerita Lokman pada pertemuan di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, baru-baru ini.

Penghujung 2010, beliau mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan di Suruhanjaya Sekuriti untuk memberi tumpuan kepada memberi rawatan dan bersama Ashraf, mereka bergabung tenaga menjayakan usaha itu.

Berbekalkan pengalaman 12 tahun dalam bidang perubatan al-Quran atau Quranic Medicine, Lokman kini sudah mengenal pasti 60 rangkaian ayat untuk penyakit kanser termasuk kanser payu dara, kulit dan hati.

Bagaimana beliau tahu ayat yang sesuai untuk sesuatu jenis penyakit, semua berpandukan kepada gerak hati kerana beliau tidak pernah bermimpi apa lagi mendengar bisikan suara. Selalunya, ayat baru diterima setiap kali kembali menunaikan umrah, setiap tahun.

Katanya, tidak dinafikan ada juga pesakit mempersoalkan surah diberi untuk diamalkan kerana apabila dibaca terjemahannya, tiada kaitan secara langsung dengan sakit dideritai pesakit atau situasi dilalui mereka.

“Memang ada. Macam ada yang minta ayat untuk murah rezeki, cari jodoh dan dapat anak, saya suruh baca surah al-Waqiah. Tetapi jika tengok makna surah al-Waqiah tiada kena mengena dengan rezeki atau jodoh tetapi ia mengenai hari kiamat.

“Inilah mukjizat al-Quran. Kita tidak tahu rahsia al-Quran hanya Allah saja yang tahu. Surah Israk, ayat 40 dan 55 untuk sakit jantung tersumbat. Beribu yang saya ubat dengan ayat itu, jantung tersumbat jadi baik.

“Rekod mereka di Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan memang ada saluran jantung tersumbat tetapi sementara menanti pembedahan, mereka datang dan amalkan ayat itu, Alhamdulillah apabila diperiksa semula, saluran yang tersumbat sudah tiada lagi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih ada kes walaupun sudah mengamalkan surah diberi tetap perlu melalui pembedahan dan ada pelbagai sebab boleh menjelaskannya selain mengakui hakikat hanya Allah yang berkuasa menyembuhkan.

Kerana itu juga, beliau tidak pernah menghalang pesakit yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mendapat rawatan di hospital, malah akan menggalakkan jika itu dirasakan perlu demi kebaikan mereka.

“Proses penyembuhan tertakluk pada keredaan Allah, ada datang sekali sudah sembuh, ada datang banyak kali tetapi tidak juga sembuh. Jadi, saya tanya jika ada kesalahan dilakukan pesakit, minta ampun dulu kerana jika pergi hospital tetapi Allah tidak reda, tidak sembuh pun.

“Amalan rawatan menggunakan ayat al-Quran disokong doa dan dosa penghalang kepada doa. Macam mana doa nak dimakbulkan, kena buat banyak solat taubat.
Apabila kita minta ampun, dengan izin Allah kabulkan doa kita,” katanya.

Jangan terkejut jika Lokman memberitahu hanya 30 peratus yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mendapatkan rawatan berkaitan gangguan, sihir dan santau kerana 40 peratus adalah pesakit kanser dan selebihnya penyakit lain seperti epilepsi, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi serta kronik hepatitis.

Beliau berkata, bagi sakit gangguan seperti sihir atau santau, selepas dibuang mereka akan kembali sihat. Berbeza dengan penyakit kanser, banyak ayat serta surah perlu dibaca untuk menyembuhkan atau memperbaiki organ dalam badan, membunuh sel kanser atau darah tersumbat.

Penampilan dalam program Penawar Syifa’ terbitan Astro Oasis dan segmen Syifa’ dalam Nasi Lemak Kopi O di TV9 membolehkan beliau berkongsi ayat al-Quran untuk rawatan penyakit dengan masyarakat.

Ditanya tidakkah beliau bimbang perkongsian itu nanti mengurangkan jumlah mereka yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, Lokman sambil tersenyum memberitahu, ayat al-Quran bukan haknya dan menjadi tanggungjawab beliau menyebarkan ayat Allah itu.

“Misi saya memartabatkan ayat al-Quran setanding perubatan moden. Jika orang boleh terima itu, Alhamdulillah. Saya gembira jika perkongsian ini memberi manfaat terutama mereka yang menghidap penyakit dan mencari penawarnya,” katanya.

Tarikh 23 April mencatat sejarah untuk Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut dikongsi pada majlis gilang gemilang ialah hasrat Lokman untuk mendirikan hospital bercirikan persekitaran Islam.

Hospital berkenaan nanti akan sentiasa berkumandang ayat suci al-Quran dan ada ketikanya, ustaz serta ustazah dijemput membacakan ayat al-Quran. Itu impian dan tiga tahun ditetapkan sebagai tempoh menterjemahkan hasrat menjadi realiti.

Untuk laporan penuh, sila ke

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/60rangkaianayatal-Quranjadipenawarkanser/Article

Agama.
60 rangkaian ayat al-Quran jadi penawar kanser
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2011/04/30

Majlis Pertunangan Noor Dayana dan Ashraf Muslim

Keindahan Alam No Comments »

Majlis Pertunangan dan Perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah

Pada 23 April, 2011 yang lalu, satu hari yang saya tidak boleh lupakan. Di hari itu anak kedua saya, Noor Dayana telah melangsungkan pertunanangan dengan adik angkat saya, Mohd Ashraf Muslim. Pada hari itu juga diadakan majlis perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin. Ini adalah kali yang pertama saya mengadakan acara pertunangan dalam keluarga saya. Alhamdulillah syukur kepada Allah, acara itu berlansung dengan sungguh meriah dan anak saya Noor Dayana selamat bertunang dengan Mohd Ashraf Muslim. Terima kasih kepada TV9 yang telah membuat liputan secara live melalui rancangan Nasi Lemak Kopi O pada pagi itu.

Saya berterima kasih kepada En Azmi daripada Orchid Bridal yang telah menaja pelamin untuk upacara pertunangan ini. Mereka telah bersengkang mata hingga jam 4.30 pagi menyiapkan pelamin yang berkonsepkan sebuah taman bunga. Pelbagai jenis bunga-bunga yang segar telah digunakan untuk menghiasi pelamin ini menjadi seolah-olah di taman bunga. Sebuah jambatan kecil telah dibina untuk menghubungkan ruang tamu ke pelamin tersebut.

Dari jam 8 pagi lagi, rumah saya telah penuh dengan saudara mara, sahabat handai dan pihak media. Seramai 300 saudara mara dan pihak media telah datang untuk menyaksikan upacara pertunangan itu. Pihak keluarga Ashraf tiba pada jam 8.30 pagi dari Melaka. Kira-kira jam 9.00 pagi semua tetamu dan pihak lelaki masuk dan bersedia untuk mulakan acara pertunangan. Pengacara pada pagi itu ialah Ahmad Fetri Yahya. Seorang pengacara yang sungguh professional dan dia mulakan majlis dengan sebilah pantun. Kemudian bacaan doa oleh kawan rapat saya Cikgu Syed Othman yang datang dari Kuala Terengganu.

Bila tapak sireh dari pihak perempuan dihulurkan ke pihak lelaki dan tapak sireh dari pihak perempuan diterima oleh pihak lelaki, tanda mulanya perbincangan antara kedua-dua pihak. Perbincangan oleh pihak lelaki diketuai oleh ayah sedara Ashraf, Pak Uda dan ayahnya Paklim. Pihak perempuan diketuai oles saya.

Tidak banyak perlu diperbincangkan sebab semuanya telah dibincang dan setuju oleh kedua-dua belah pihak semasa upacara risik pada bulan March yang lalu. Semasa perbincangan yang lalu, pihak lelaki telah mencadangkan hantaran mas kahwin adalah mengikut tarikh lahir Noor Dayana, dan ini dipersetujui oleh pihak perempuan.

Tarikh pernikahan adalah pada 1 Syawal dan inshallah kalau diizinkan Allah, saya berhajat untuk menikahkan kedua-dua mereka di Masjidil Haram di Makkah. Memang setiap penhujung Ramadhan saya dan Ashraf selalu meraikan ramadhan disana, dan pada tahun ini, saya bercadang untuk menikahkan mereka disana, InshaAllah. Majlis kenduri kahwin bagi kedua belah pihak akan diadakan di Shah Alam Convention Center pada 10/9/11, InshaAllah. Majlis bertandang akan diadakan di Melaka selepas itu.

Pihak lelaki kemudian menghadiahkan 5 dulang hantaran iaitu sireh junjung, sebentuk cincin tanda ikatan pertunangan, sehelai salinan kain, sedulang buah-buahan dan sedulang cup cake.

Tepat jam 9.25 pagi, majlis menerima cue dari TV9 crew untuk upacara crossover siaran langsung untuk rancangan Nasi Lemak Kopi O pada pagi itu. Acara seterusnya yang dirakam live ialah persembahan hantaran dari pihak keluarga perempuan. Pengacara pada pagimitu ialah rakan kami Farah Anuar. Selepas pengacara Farah Anuar memperkenalkan penonton dirumah upacara pertunangan ini, mulalah perarakan hantaran dari pihak perempuan.

Tujuh dulang hantaran yang dibawa oleh tujuh dayang-dayang turun dari tangga ruang tamu diiringi oleh tiupan flute yang menyanyikan alunan lagu melayu lama. Tujuh hantaran dari pihak pempuan iaitu sireh junjung, sebentuk cincin tanda ikatan pertunangan, sehelai samping, sehelai kain persalinan, perfume berbagai jenis, sedulang cake pertunangan dan sedulang homemade chocolate.

Selepas itu anak saya Noor Dayana turun dengan diiringi oleh 2 kawan rapatnya dan tiupan flute untuk upacara sarong cincin yang disarungkan oleh ibu sedara (mak uda) Ashraf. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Cikgu Syed sekali lagi.

Selepas itu kira-kira jam 9.45 pagi diadakan acara lintas langsung wawancara berkenaan perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang diadakan pada jam 12 tengah hari, oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Alhamdulillah syukur pada Allah, acara perasmian berjalan dengan lancar. Dato’ Seri Menteri tiba jam 11.50 pagi dan upacara dimulakan tepat jam 12 tengah hari. Seramai 800 para tetamu hadir untuk upacara itu. Sahabat handai, wartawan dan pihak media elektronik, saudara mara dan pesakit-pesakit telah dijemput untuk menghadiri upacara perasmian.

Selepas ucapan Dato’ Seri, beliau telah menanda-tangani sebuah plague menandakan perasmian Pusat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Kemudian beliau telah melepaskan 99 ekor rama-rama menandakan 99 kami beroperasi dan 99 nama Allah Asma ul Husnah. Dato’ Seri kemudian menerima cenderhati dari tiga warga emas iaitu ibu saya Hajjah Petum yang berusia 98 tahun, ibu sedara isteri saya yang berumur 80 tahun dan Nek Alang, nenek sedara Ashraf yang berusia 70 pulohan. Kami memilih mereka bertiga untuk mendapat keberkatan orang-orang tua semoga doa dari mereka ini membawa keberkatan kepada pusat rawatan ini. Antara cenderahati yang diterima adalah kuih melayu dari Melaka dan Kelantan.

Dato’ Seri kemudian melawat klinik dan merasmikan portal website kami yang baru iaitu www.alhidayah-medic.com dan sistem pengurusan pesakit kami yang baru Hidayah Careline.

Kemudian diadakan upacara press conference antara pihak media dan Dato’ Menteri. Selepas itu upacara makan tengah hari yang disajikan oleh caterer jiran saya En. Fauzi.

Upacara berakhir pada jam 2.30 petang dan Allah turunkan hujan rintik-rintik untuk mengejukan hari yang panas sejak pagi. Alhamdulillah syukur pada Allah dan saya sangat beterima kasih kepada semua yang terlibat untuk menjayakan upacara pertunangan anak saya dengan Ashraf Muslim dan perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Wajah kepenatan jelas terpancar di raut muka semua kakitangan Al-hidayah termasuklah anak kesayangan bongsu saya ini Dhiya Aiman yang bertugas sebagai jurugambar sampingan.

Sekiranya panjang umur dan ada jodoh serta murah rezeki, kemungkinan majlis pertunangan seterusnya untuk tahun depan giliran anak lelaki saya. InshaAllah dengan keizinan Allah swt..

Hj Lokman
24 April 2011

Syifa Nasi Lemak Kopi O Minggu ke-12 (KANSER KULIT)

Keindahan Alam No Comments »

Minggu ini kita akan membincangkan topik kanser kulit seperti biasa di ruangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) setiap jumaat. Tetamu kita pada minggu ini ialah En Abdul Rahman B. Yang Othman yang merupakan seorang Guru Besar di SK Batu Kurau. Beliau yang mempunyai 3 orang anak, telah menghidap kanser kulit sejak tahun 2009.

Pada tahun 2009 beliau telah mengalami gatal-gatal kulit di seluruh tubuh badan beliau. Pada peringkat permulaan, hospital mengesyaki beliau mengalami penyakit eczema tetapi apabila membuat pemeriksaan sepenuhnya beliau didapati menghidap penakit kanser kulit ( seluruh tubuh badan). Tidak boleh buat chemoteraphy kerana kanser kulit telah merebak seluruh tubuh badan beliau. Dari hari ke hari keadaan beliau makin teruk dan tidak dan keadaan semakin tidak stabil.

Akibat dari kanser kulit ini, beliau tidak boleh berjalan, merasa susah untuk menunaikan solat, berwuduk dan mandi. Pergerakan beliau juga amat terbatas sehingga terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

Dengan izin Allah, pada 4/11/2010 beliau datang ke klinik Syifa Al-Hidayah utk menjalani rawatan. Setelah menjalani 3 kali rawatan satu titik perubahan dalam hidup beliau dimana penyakit yang beliau alami semakin pulih dari dulu. Kata beliau.. Dulu beliau jarang mengaji ,sekarang die semakin rajin dan seronok. Dulu kuat marah, sekarang lebih relax dan ‘cool’. Dulu sentiasa dalam keadaan kemurungan, sekarang lebih ceria dan positif.

Yang menakjubkan pada diri beliau ialah dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran, beliau bukan sahaja mengubati penyakit kanser beliau malah penyakit yang lain juga makin kurang dan ditahap yang normal contohnya kolestrol dalam badan beliau menurun keputusan dari menjalani ‘ medical checkup’. Dan yang paling penting sekarang beliau telah boleh berjalan dan bekerja semula seperti biasa sambil menggalas tanggungjawab sebagai Guru Besar SK Batu Kurau, Taiping Perak. Alhamdulillah

Surah-surah yang telah diamalkan oleh beliau ialah:

1) Fussilat, no surah 41
Ayat 41 – 54

2) Al-Mai’dah, no surah 5
Ayat 82 – 91

3) An-Najm, no surah 53
Ayat 21 – 40

4) Al-Ahzab , no surah 33
Ayat 18 – 30

Syifa Nasi Lemak Kopi O Minggu ke-11 (SIHIR)

Keindahan Alam No Comments »

Pada minggu ini kita akan membicarakan topik Sihir di dalam slot nasi Lemak Kopi O (NLKO). Tetamu kami pada hari ini merupakan seorang pesakit yang terkena sihir yang bernama Puan Rohayati bt Baharin. Puan Rohayati menghidapi penyakit pengecutan otak (Cereblar Atrophy) sejak tahun 2000 lagi.

Pada tahun 2000 selepas bersalin anak ke-3 ,beliau demam yg berpanjangan selama setahun kemudian pergi ke klinik dlm keadaan yg tidak bermaya dan berpapah dari klinik ke hospital seterusnya dari hospital ke hospital lain apabila dikatakan apa yang dialami itu bukan demam biasa tp ia adalah disebabkan masalah saraf. Selepas pemeriksaan MRI, CT Scan pihak hospital mengesahkan ia adalah Pengecutan Otak. Banyak komplikasi yg telah berlaku terhadap beliau dimana beliau tidak dapat bergerak seperti biasa dan mengalami kesukaran untuk berjalan akibat kurang keseimbangan badan. Kesan lain juga ialah beliau kurang fokus dari segi penglihatan, pendengaran, menyebabkan beliau sukar untuk membaca Al-Quran.
Akibat dari terkena sihir ini juga, beliau merasa kurang keyakinan diri, sering pening kepala, dan yang mistiknya beliau sentiasa terdengar suara seakan-akan suara orang, dan telinga kadang kala seperti berdesing serta selalu terjaga dari tidur dan ternampak bayang-bayangan.

Setelah 6 tahun berulang alik ke hospital, pada Oktober 2010, beliau cuba mendapatkan rawatan di klinik Syifa Alhidayah dan keadaan ketika itu beliau di dalam keadaan berkerusi roda. Selepas di scan atau di diagnosis, beliau telah dikenal pasti bahawa penyakit yg dihadapi itu adalah berpunca daripada gangguan sihir yang menyebabkan pengecutan otak beliau.

Alhamdulillah setelah menjalani 4 kali rawatan, banyak perubahan yg berlaku terhadap beliau walaupun perubahannya adalah secara berperingkat. Sekarang beliau tidak lagi seperti dahulu yg sentiasa bermurung dan berfikiran negatif malah beliau lebih ceria dan lebih positif dan redha apa yang berlaku ini adalah kuasa Allah yg maha berkuasa. Dan perkara paling menyeronokkan adalah beliau dapat mengaji dan menjalankan kehidupan yg lebih baik, sehingga rasa lupa akan rasa sakit.

Antara surah-surah yang diamalkan oleh Puan Rohayati adalah seperti di bawah:

1) Asy-Syuaraa , no surah 26
Baca dari ayat 95-118

2) An-Nahli , no surah 16
Baca dari ayat 76-91

3) Al-A’raaf , no surah 7
Baca dari ayat 52-67

Warkah dari Pesakit-II (Limited Sceleroderma)

Keindahan Alam No Comments »

Warkah kali ini diterima daripada seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah Cawangan Melaka. Pesakit ini mengalami sejenis penyakit kulit yang jarang ditemui. Dengan keizinan Allah swt dan melalui ayat-ayat suci Al-Quran yang diamalkan, pesakit ini telah beransur sembuh. Bacalah cerita selanjutnya dibawah ini.

Assalamualaikum Tn Haji Lokman,

Pada awal 2005, saya disahkan menghidap sejenis penyakit kulit yang dipanggil “Limited Sceleroderma” with ” Raynaud’s Phenomena” yang menyebabkan kulit saya menebal, keras dan menjadi hitam. Kesan yang saya hidapi adalah dari siku ke hujung jari tangan, dari buku lali ke hujung jari kaki, dan dari leher ke atas termasuk muka dan telinga. Jari jemari saya menjadi kebiruan apabila keadaan sejuk dan dingin. Selepas setahun, kesemua jari jemari saya menjadi bengkak dan sendi-sendi pula menjadi keras. Saya juga tidak boleh makan dengan sempurna akibat jari yang bengkak, menyebabkan sudu dan garfu menjadi kemestian kepada saya untuk dibawa kemana-mana supaya memudahkan untuk saya untuk menjamu selera. Pergerakan saya juga amat terbatas, menyebabkan saya sukar menguruskan kerja-kerja harian.

Pada akhir 2009 ( Disember) saya dijemput oleh seorang kawan untuk mencuba mendapatkan rawatan di Perubatan Syifa Al-Hidayah. Dan pada bulan February, dengan izin Allah, buat pertama kali saya telah berjumpa dengan Haji Lokman di Syifa Al-Hidayah cawangan Melaka. Untuk rawatan pertama, saya diberikan Surah Al-Mukminun ayat 60 hingga 80 yang perlu dibaca selepas solat maghrib atau isyak, dan berdoa pada Allah selepas membaca surah. Dan untuk diamalkan selepas solat subuh, surah An-Nahl ayat 59 hingga 64 dan berdoa pada Allah selepas selesai membaca surah. Selepas 3 minggu mengamalkan bacaan surah yang diberi, perubahan mula berlaku dimana kulit dan sendi saya mulai lembut. Jari yang membengkak hingga pecah sudah mulai pulih.

Pada rawatan kedua, saya telah diberi

Surah Al-Mukminun ayat dari 60 hingga 80

Surah Ghafir ayat 51 hingga 65

Pada rawatan ketiga, saya telah diberi

Surah Al-Anbiya ayat 74 hingga 81

Surah As-Syuaraa ayat 201 hingga 227

Pada rawatan ke empat, saya telah diberi

Surah Al-Anbiya ayat 82 hingga 90

Surah As-Saaffat ayat 120 hingga 144

Saya amat bersyukur kepada Allah kerana telah menemukan saya dengan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah ini. Kulit saya sekarang beransur sembuh dan kembali lembut dan cerah seperti dahulu. Kulit di muka saya juga sedah mula kendur dan cerah berbanding dahulu. Mudah-mudahan keadaan saya akan terus menerus bertambah baik.

Endotek Bt Ambok
Kg Ulu Air Kuning Selatan
73200 Gemensheh
Negeri Sembilan
2 April 2011

Syifa Nasi Lemak Kopi O Minggu ke-10 (Down Syndrome)

Keindahan Alam No Comments »

Minggu ini kami akan membincangkan tentang penyakit Down Syndrome. Down Syndrome merupakan penyakit yang berpunca dari masalah genetic dimana seseorang yang normal hanya mempunyai 24 kromosom, manakala pesakit Down Syndrome untuk kromosom yang ke 21, terdapat 3 lagi kromosom berlebihan. Kebanyakan kes yang berlaku adalah wanita yang hamil pada usia lebih 45 tahun.

Ciri-ciri pesakit Down Syndrome:

1) Muka bulat ala mongolian

2) Mempunyai pangkal hidung leper

3) Mata “upslated” atau serong

4) Mulut kecil dan lidah yang panjang

5) Garisan di tapak tangan hanya satu garisan

6) Jari kelingking bengkok ke dalam

7) 40% daripada pesakit down syndrome mengalami komplikasi jantung berlubang atau sakit jantung yang lain

8 ) Kadang kala mereka mempunyai usus yang tersumbat

Komplikasi yang dialami semasa membesar

1) Lambat berjalan

2) “Slow learner”

3) Tahap ketinggian yang terhad

4) Sering mengalami sakit

5) Masalah pendengaran

6) Masalah pengilahatan seperti juling/ketarak

7) Risiko untuk mengalami luekimia

8 ) Risiko untuk mendapat sawan/epilepsy

Miiggu ini kami mengemukakan seorang pesakit down syndrome yang bernama Mohd Amir B Mohd Anuar yang berusia 19 tahun. Beliau dilahirkan pada 23 Oktober 1992 di Johor Bahru. Sejak lahir beliau mengalami komplikasi jantung berlubang dan lambat dari segi pertuturan dan penyusunan ayat. Beliau selalu berdiam dan sukar untuk bercakap. Dari Johor Bahru, keluarga beliau pindah ke Kuala Lumpur semasa umur 6 tahun. Beliau menyertai kursus anak-anak istimewa di NURI. Selepas berumur 14 tahun, beliau dimasukkan ke sekolah menengah biasa.

Beliau mula mendapatkan rawatan dengan Haji Lokman sejak berusia 14 tahun. Perubahan-perubahan selepas di rawatan Al-Hidayah:

1) Terdapat peningkatan dari segi percakapan dan pemahaman

2) Telah mula boleh menguruskan diri sendiri/berdikari

3) Peningkatan dalam berinteraksi dengan masyarakat

4) Keyakinan diri bertambah

Disini kami menyenaraikan ayat-ayat yang lazim digunakan untuk anak-anak yang menghidapi penyakit Down Syndrome;

Surah Az-Zummar ayat 24 hingga 37

Surah Al-Haj ayat 40 hingga 55

Surah Yassin ayat 72 hingga 83