Majlis Pertunangan Noor Dayana dan Ashraf Muslim

Keindahan Alam Add comments

Majlis Pertunangan dan Perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah

Pada 23 April, 2011 yang lalu, satu hari yang saya tidak boleh lupakan. Di hari itu anak kedua saya, Noor Dayana telah melangsungkan pertunanangan dengan adik angkat saya, Mohd Ashraf Muslim. Pada hari itu juga diadakan majlis perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin. Ini adalah kali yang pertama saya mengadakan acara pertunangan dalam keluarga saya. Alhamdulillah syukur kepada Allah, acara itu berlansung dengan sungguh meriah dan anak saya Noor Dayana selamat bertunang dengan Mohd Ashraf Muslim. Terima kasih kepada TV9 yang telah membuat liputan secara live melalui rancangan Nasi Lemak Kopi O pada pagi itu.

Saya berterima kasih kepada En Azmi daripada Orchid Bridal yang telah menaja pelamin untuk upacara pertunangan ini. Mereka telah bersengkang mata hingga jam 4.30 pagi menyiapkan pelamin yang berkonsepkan sebuah taman bunga. Pelbagai jenis bunga-bunga yang segar telah digunakan untuk menghiasi pelamin ini menjadi seolah-olah di taman bunga. Sebuah jambatan kecil telah dibina untuk menghubungkan ruang tamu ke pelamin tersebut.

Dari jam 8 pagi lagi, rumah saya telah penuh dengan saudara mara, sahabat handai dan pihak media. Seramai 300 saudara mara dan pihak media telah datang untuk menyaksikan upacara pertunangan itu. Pihak keluarga Ashraf tiba pada jam 8.30 pagi dari Melaka. Kira-kira jam 9.00 pagi semua tetamu dan pihak lelaki masuk dan bersedia untuk mulakan acara pertunangan. Pengacara pada pagi itu ialah Ahmad Fetri Yahya. Seorang pengacara yang sungguh professional dan dia mulakan majlis dengan sebilah pantun. Kemudian bacaan doa oleh kawan rapat saya Cikgu Syed Othman yang datang dari Kuala Terengganu.

Bila tapak sireh dari pihak perempuan dihulurkan ke pihak lelaki dan tapak sireh dari pihak perempuan diterima oleh pihak lelaki, tanda mulanya perbincangan antara kedua-dua pihak. Perbincangan oleh pihak lelaki diketuai oleh ayah sedara Ashraf, Pak Uda dan ayahnya Paklim. Pihak perempuan diketuai oles saya.

Tidak banyak perlu diperbincangkan sebab semuanya telah dibincang dan setuju oleh kedua-dua belah pihak semasa upacara risik pada bulan March yang lalu. Semasa perbincangan yang lalu, pihak lelaki telah mencadangkan hantaran mas kahwin adalah mengikut tarikh lahir Noor Dayana, dan ini dipersetujui oleh pihak perempuan.

Tarikh pernikahan adalah pada 1 Syawal dan inshallah kalau diizinkan Allah, saya berhajat untuk menikahkan kedua-dua mereka di Masjidil Haram di Makkah. Memang setiap penhujung Ramadhan saya dan Ashraf selalu meraikan ramadhan disana, dan pada tahun ini, saya bercadang untuk menikahkan mereka disana, InshaAllah. Majlis kenduri kahwin bagi kedua belah pihak akan diadakan di Shah Alam Convention Center pada 10/9/11, InshaAllah. Majlis bertandang akan diadakan di Melaka selepas itu.

Pihak lelaki kemudian menghadiahkan 5 dulang hantaran iaitu sireh junjung, sebentuk cincin tanda ikatan pertunangan, sehelai salinan kain, sedulang buah-buahan dan sedulang cup cake.

Tepat jam 9.25 pagi, majlis menerima cue dari TV9 crew untuk upacara crossover siaran langsung untuk rancangan Nasi Lemak Kopi O pada pagi itu. Acara seterusnya yang dirakam live ialah persembahan hantaran dari pihak keluarga perempuan. Pengacara pada pagimitu ialah rakan kami Farah Anuar. Selepas pengacara Farah Anuar memperkenalkan penonton dirumah upacara pertunangan ini, mulalah perarakan hantaran dari pihak perempuan.

Tujuh dulang hantaran yang dibawa oleh tujuh dayang-dayang turun dari tangga ruang tamu diiringi oleh tiupan flute yang menyanyikan alunan lagu melayu lama. Tujuh hantaran dari pihak pempuan iaitu sireh junjung, sebentuk cincin tanda ikatan pertunangan, sehelai samping, sehelai kain persalinan, perfume berbagai jenis, sedulang cake pertunangan dan sedulang homemade chocolate.

Selepas itu anak saya Noor Dayana turun dengan diiringi oleh 2 kawan rapatnya dan tiupan flute untuk upacara sarong cincin yang disarungkan oleh ibu sedara (mak uda) Ashraf. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Cikgu Syed sekali lagi.

Selepas itu kira-kira jam 9.45 pagi diadakan acara lintas langsung wawancara berkenaan perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang diadakan pada jam 12 tengah hari, oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Alhamdulillah syukur pada Allah, acara perasmian berjalan dengan lancar. Dato’ Seri Menteri tiba jam 11.50 pagi dan upacara dimulakan tepat jam 12 tengah hari. Seramai 800 para tetamu hadir untuk upacara itu. Sahabat handai, wartawan dan pihak media elektronik, saudara mara dan pesakit-pesakit telah dijemput untuk menghadiri upacara perasmian.

Selepas ucapan Dato’ Seri, beliau telah menanda-tangani sebuah plague menandakan perasmian Pusat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Kemudian beliau telah melepaskan 99 ekor rama-rama menandakan 99 kami beroperasi dan 99 nama Allah Asma ul Husnah. Dato’ Seri kemudian menerima cenderhati dari tiga warga emas iaitu ibu saya Hajjah Petum yang berusia 98 tahun, ibu sedara isteri saya yang berumur 80 tahun dan Nek Alang, nenek sedara Ashraf yang berusia 70 pulohan. Kami memilih mereka bertiga untuk mendapat keberkatan orang-orang tua semoga doa dari mereka ini membawa keberkatan kepada pusat rawatan ini. Antara cenderahati yang diterima adalah kuih melayu dari Melaka dan Kelantan.

Dato’ Seri kemudian melawat klinik dan merasmikan portal website kami yang baru iaitu www.alhidayah-medic.com dan sistem pengurusan pesakit kami yang baru Hidayah Careline.

Kemudian diadakan upacara press conference antara pihak media dan Dato’ Menteri. Selepas itu upacara makan tengah hari yang disajikan oleh caterer jiran saya En. Fauzi.

Upacara berakhir pada jam 2.30 petang dan Allah turunkan hujan rintik-rintik untuk mengejukan hari yang panas sejak pagi. Alhamdulillah syukur pada Allah dan saya sangat beterima kasih kepada semua yang terlibat untuk menjayakan upacara pertunangan anak saya dengan Ashraf Muslim dan perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Wajah kepenatan jelas terpancar di raut muka semua kakitangan Al-hidayah termasuklah anak kesayangan bongsu saya ini Dhiya Aiman yang bertugas sebagai jurugambar sampingan.

Sekiranya panjang umur dan ada jodoh serta murah rezeki, kemungkinan majlis pertunangan seterusnya untuk tahun depan giliran anak lelaki saya. InshaAllah dengan keizinan Allah swt..

Hj Lokman
24 April 2011

Comments are closed.